Sunday 23 October 2011

Aku Suria


Chapter 1


Malam yang dahulunya dipenuhi dengan gelak tawa seorang lelaki yang sudah berusia tidak lagi kedengaran. Yang hanya kedengaran tangisan kecil dari kanak-kanak. Malam yang dahulunya penuh dengan keceriaan walaupun hidup dalam keadaan yang agak kesusahan, kini diganti dengan suasana yang mendung di dalam rumah yang agak usang itu. Suria hanya merenung langit malam yang kosong. Tiada kelipan bintang yang bertaburan didada langit. Sara, adik bongsunya sudah meringkuk tidur disisinya, manakala adik-adiknya yang lain masih lagi menangisi pemergian ayah kesayangan mereka. Milah hanya merenung melihat kelakuan enam orang anaknya. Dia bukan sahaja menangisi pemergian Salleh, malah dia terkilan kerana Salleh tidak meninggalkan sedikit harta pun kepadanya. Dia runsing. Bagaimana dia mahu menyara enam orang anaknya? Persekolahan mereka bagaimana? Persoalan itu masih belum terjawab sejak arwah Salleh diturunkan di liang lahad. Lantaran dia mengambil keputusan untuk membuat perniagaan kecil-kecilan di belakang rumahnya.

“Suria, mak nak buka warung di belakang rumah.”Milah melahirkan hasrat kepada anak sulungnya.

“Tapi mak, kita tak ada modal, macam mana nak berniaga?”

“Nanti kita pinjam duit ketua kampung. Jadilah buat modalnya.”jawab Milah. Suria hanya mengangguk lemah tanda setuju. Dia masih tiada semangat untuk membincangkan hal yang demikian.

“Dah Suria, pergilah tidur. Nanti Sara mak angkat. Suraya, Salina, Muiz, Nubhan dah pergi masuk bilik.”arah Milah kepada anak-anaknya. Dengan langkah yang lemah, Suria menuju ke kamar tidurnya. Adik-adiknya yang lain pun menuruti perbuatan yang sama.

***********************************

Azan subuh kedengaran dari surau yang terletak dihujung simpang jalan yang berdekatan dengan rumah kayu milik Milah. Tetapi isi rumahnya masih lagi sunyi. Kebiasaannya suara Salleh yang kedengaran lantang ketika di subuh hari untuk mengejutkan anak-anaknya terutama sekali Muiz dan Nubhan. Mereka selalu diajar oleh Salleh untuk rajin kesurau. Katanya lelaki lebih baik solat di surau berbanding di rumah. Setelah lima minit berlalu, barulah rumah kayu itu bercahaya. Muiz dan Nubhan terkoco-koco keluar dari pintu rumah. Mereka berlari-lari anak untuk ke surau. Takut ketinggalan jemaah. Kemudian, barulah Suria bangun dari tempat pembaringannya setelah cahaya lampu pendaflour yang di buka oleh Muiz menusuk ke kelopak matanya. Dia masih lagi menguap kerana mengantuk. Digagahkan juga untuk ke bilik air. Setelah mengambil wudu’, dia menuju ke bilik solat. Dijelingnya bilik sebelah. Senyap.

“Agaknya mak belum bangun lagi.”bisik Suria di dalam hati. Tanpa membuang waktu, dia terus melangkah masuk ke pintu bilik dan bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh. Begitu khusuk dia menjalankan kewajipan sebagai seorang hamba Allah SWT. Setelah selesai, dia menadah tangan. Mendoakan ayah kesayangannya diampunkan dan diterima di sisi orang-orang yang beriman. Setitik air mata hangat mengalir di pelupuk matanya. Dia begitu rindukan ayahnya. Rasanya baru semalam dia bergelak ketawa bersama Salleh. Bertukar-tukar cerita. Mendengar nasihat dan bebelan dari Salleh. Tapi kini, semuanya tinggal kenangan.